Kini kita telah memasuki satu zaman yang penuh dengan cabaran. Ramai manusia yang terjerumus ke dunia keruntuhan akhlak. Mereka menjauhi ajaran-ajaran Allah dan tenggelam dalam dosa dan kejahatan. Catatan ini hanyalah sekadar untuk mengingatkan diri saya dan semua agar kita sentiasa mengingati bahaya yang mungkin menimpa kita di dunia dan di akhirat kelak.
Firman Allah dalam surah Nuh Ayat 25 bermaksud " kerana dosa-dosa dan kesalahan mereka, maka mereka ditenggelamkan dengan pukulan taufan, kemudian dimasukkan ke dalam neraka di akhirat kelak dan sesungguhnya tiada siapa pun yang dapat menolong mereka selain daripada Allah”.
Kali ini kita akan membincangkan bab berikut :
1. Dosa Kita Kepada Ibubapa
Derhaka kepada ibubapa yang dimaksudkan adalah melakukan sesuatu yang menyakiti, banyak mahupun sedikit, seperti enggan melakukan apa yang mereka suruh dan membuat apa yang mereka larang. Dosa terhadap Ibu Bapa adalah dosa yang paling besar. Rasulullah s.a.w. telah memperingatkan kita supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menyakiti hati mereka dengan sabdanya yang bermaksud :
“Perlukah aku beritahu kamu tiga perkara dosa besar yang paling besar?” Kami (para sahabat) menjawab, “Tentu, ya Rasulullah.” Maka Nabi berkata “ Menyekutukan Allah dan menderhaka kepada Ibubapa.” Pada mulanya Nabi bersandar lalu Nabi duduk untuk melanjutkan percakapan. “Begitu juga dengan pembohongan dan penyaksian palsu.” Beiau terus mengulanginya sehingga kami ingin beliau berhenti”. (Riwayat Bukhori dan Muslim).
Firman Allah bermaksud :
“Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya serta berbuat baiklah kepada Ibubapa.” (Surah An-Nisa ayat 36)
Firman Allah lagi yang bermaksud :
“Bersyukurlah kepada-Ku dan berterima kasihlah kepada Ibubapamu, hanya kepada Ku tempat kembali.” (SurahLuqman ayat 14)
Ayat di atas menyatakan bahawa bersyukur kepada Allah tidak membawa apa-apa erti andai tidak disekalikan dengan terima kasih kepada Ibubapa, berbuat baik kepada mereka sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul.
Islam meletakkan kedudukan Ibu lebih istimewa daripada ayah. Kasih sayang ibu lebih nyata dan lebih banyak. Ibulah yang menanggung bagaimana susahnya waktu mengandung, melahirkan, menyusukan, berjaga malam, menukar lampin dan sebagainya.Pengorbanan ibu telah disebut di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua Ibubapanya. Ibu telah mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan penuh penderitaan. Mengasuh dengan sabar sejak dari mengandung sehingga bercerai susu, selama tiga puluh bulan lamanya.” (Surah Al-Kahfi ayat 15)
Dalam sabda Nabi yang lain yang bermaksud : “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. lalu bertanya, “Kepada siapakah yang paling patut aku berbuat baik?.” Nabi menjawab, “Kepada Ibumu.” “Selepas itu kepada siapa.” Tanya lelaki itu. Nabi menjawab, “Kepada Ibumu.” Selepas itu kepada siapa. Tanya lelaki itu. Nabi menjawab, “Kepada Ibumu.” Setelah itu kepada siapa. Lelaki itu masih bertanya. Nabi menjawab, “Selepas itu kepada ayahmu.” (Riwayat Bukhori dan muslim)
Nabi Muhammad s.a.w. mengulangi perkataan “Kepada Ibumu” sehingga 3 kali untuk menyatakan betapa ketaatan anak kepada ibunya lebih daripada ayahnya walaupun anak diwajibkan taat kepada kedua-duanya. Ini adalah kerana kepayahan, keperitan dan penderitaan yang ditanggung oleh ibunya lebih dalam membesar dan mendidik anaknya.
-putrisyafeera-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan