background

Isnin, 2 April 2012

Cara-cara Mengisi Masa Lapang

Kebiasaannya kita akan memiliki masa lapang, sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu atau satu bulan. Masa lapang yang kita miliki boleh menjadi amat bernilai jika kita tahu mengisinya dengan pelbagai aktiviti sampingan. Masa lapang boleh diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti bersukan, melakukan kerja-kerja ringan, menambahkan pengetahuan, berhibur dan beriadah.

Masa lapang bermaksud masa yang tidak digunakan pada ketika kita memiliki keupayaan untuk melakukan sesuatu. Kita tidak berasa letih, kita tidak ada tugasan yang hendak diselesaikan pada ketika itu. Inilah masa lapang. Alangkah bagusnya jika masa lapang yang kita miliki itu dapat kita manfaatkan untuk menenangkan diri. Salah satu aktiviti ringkas yang boleh dilakukan semasa kelapangan ialah berzikir dan mengingati Tuhan. Aktiviti kerohanian seperti ini dapat menyucikan akal fikiran dan jiwa kita supaya kita berasa lebih tenang dan damai.

Sekiranya kita sibuk dengan pelbagai tugasan dan kerja sehingga tidak dapat bersosial dan bergaul dengan orang-orang di sekitar kita, maka pada masa lapanglah merupakan waktu yang paling sesuai untuk kita mengeratkan kembali perhubungan kita dengan orang lain. Kita boleh gunakan masa lapang yang ada ini untuk meningkatkan kefahaman antara satu sama lain.

Kita juga boleh menggunakan masa lapang yang ada untuk menambahkan pendapatan sampingan. Menambahkan pendapatan dan keuntungan tidak terhad kepada wang semata-mata, tetapi juga menerusi peningkatan ilmu pengetahuan dan kemahiran menerusi aktiviti seperti membaca, menonton internet, menghadiri kelas-kelas kemahiran dan sebagainya. Aktiviti menulis blog juga merupakan satu cara mengisi lapang yang baik.


-putrisyafeera-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan