Kegiatan Kokurikulum memberi banyak manfaat.
Kegiatan kokurikulum merupakan bidang pengajaran yang sama penting dengan bidang akademik di sekolah.Kepentingannya semakin terserlah apabila pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mewajibkansemua murid sama ada di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah menyertai aktiviti kokurikulum yang di tawarkan di sekolah.Mulai tahun 2006,murid yang aktif dalam bidang kokurikulum seperti persatuan atau kelab,unit beruniform,dan permainan akan diberikan markah bonus sebanyak sepuluh peratus ketika memohon untuk menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi awam.
Aktiviti kokurikulum dapat membentuk tubuh yang cergas dan minda yang cerdas,selaras dengan kata-kata hikmat otak yang cerdas ada pada badan yang sihat.Aktiviti seperti berlari,berenang,bermain bola, dan sebagainya dapat memperlahankan kemerosotan otot,tulang dan sendi.Pergerakan badan dapat mengekalkan kekuatan sendi,di samping menghilangkan kepenatan melalui perpeluhan.Murid yang terlibat dengan aktiviti tersebut akan kelihatan lebih cergas dalam menjalankan aktiviti harian.Dengan kata lain,kelebihan tersebut merupakan nilai tambah kepada mereka untuk terus maju dalam bidang pelajaran.
Satu hakikat yang memang tidak dapat dinafikan ialah murid yang menyertai aktiviti kokurikulum dapat memanfaatkan masa yang terluang.Mereka dapat menggunakan masa lapang dengan sebaik-baiknya.Jika tidak menyertai kegiatan tersebut,kemungkinan besar murid-murid akan terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat,seperti melepak di pusat beli-belah,melakukan vandalisme,atau sebagainya.Jika silap memilih kawan,mereka mungkin terlibat dalam kegiatan gengsterisme.Oleh itu,penyertaan murid dalam kegiatan kokurikulum merupakan cara yang baik untuk mengisi masa senggang mereka.Mereka perlu sedar bahawa masa itu emas.Oleh itu,masa harus diisi dengan aktiviti yang berfaedah.
Dari sudut pandangan yang lain,kegiatan kokurikulum berkesan untuk mengcukil,melatih,mengasah,serta menggilap kebolehan bakal pemimpin negara yang berwibawa dan berkaliber.Bakat murid diperlihatkan ketika mereka diberikan tugas-tugas tertentu semasa aktiviti dilakukan.Kebolehan dan keupayaan mereka dicungkil apabila mereka menjalankan tugas sebagai pengerusi,setiausaha,dan bendahari bagi sesebuah badan beruniform,persatuan,mahupun permainan.Sifat kepimpinan murid dapat diasah melalui aktiviti yang dilaksanakan.Bagi murid yang lemah dalam bidang akademik,penyertaan dalam aktiviti tersebut merupakan satu peluang untuk menonjolkan kemahiran mereka di luar bilik darjah.
Di samping itu,kegiatan kokurikulum dapat membentuk disiplin murid.Hal ini demikian kerana mereka perlu mematuhi peraturan bagi sesuatu persatuan mahupun aktiviti sukan yang disertai.Mereka diberi pendedahan tentang kepentingan sikap bekerjasama dalam melakukan sesuatu tugas bersama-sama.Mereka harus menghormati pendapat orang lain apabila tugasan kumpulan diberikan.Hal ini secara tidak langsung dapat melatih murid menjadi penyabar,bertoleransi,dan tidak mementingkan diri sendiri.Hubungan silaturrahim antara mereka juga dapat dijalin.
Kesimpulannya,murid tidak seharusnya menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang akademik.Mereka perlu digalakkan untuk menyertai kegiatan kokurikulum yang banyak mendatangkan faedah.Hal ini selaras dengan matlamat pendidikan negara,iaitu melahirkan insan yang seimbang dari semua aspek.Oleh itu, para pendidik,ibu bapa,dan anggota masyarakat harus menggembleng tenaga untuk membentuk insan yang berguna kepada bangsa dan negara.Murid-murid merupakan pemangkin kepada keagungan negara pada zaman akan datang.
Nurul Ulfah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan