background

Ahad, 16 September 2012


Kebaikan-kebaikan dan keburukan yang tercetus daripada muzik di negara ini

Muzik dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana muzik pada masyarakat menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan tenaga mereka terutama dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Keadaan ini menyebabkan rancangan muzikal telah mendapat sambutan hangat masyarakat terutama remaja. Sesungguhnya, muzik mempunyai pelbagai natijah yang mampu mengubah kehidupan sesebuah negara itu.
Sekali pandang pandang muzik memang membawa kebaikan. Muzik mampu memberi ketenangan jiwa kepada seseorang kerana apabila mendengar muzik, jiwa seseorang akan tenteram terutama mendengar muzik kegemarannya. Irama muzik yang mendayu-dayu menyebabkan jiwa seseorang yang suka memberontak akan kembali menjadi tenang dan gembira. Sesungguhnya, muzik membawa ketenangan jiwa yang meningkatkan lagi kekuatan minda dan fizikal seseorang itu.
Malah, muzik mampu memberi imej baru atau memperkaya muzik tradisional sesebuah negara itu. Keadaan ini mampu diwujudkan kerana muzik tradisional dianggap tidak bersesuaian dengan keperluan alaf globalisasi yang mengutamakan muzik rancak sahaja. Rancangan muzik yang disiarkan oleh media tempatan mampu mengorak langkah untuk menyebarkan pengaruh muzik tradisional terutama dalam kalangan remaja. Jadi, muzik memang mampu meninggikan imej muzik tradisional kita.
Bukan sahaja imej muzik tradisional mampu ditingkatkan tetapi imej negara pada mata masyarakat antarabangsa turut meningkat. Muzik sering dikaitkan dengan tahap kemodenan sesebuah masyarakat dan neagra itu mengikut piawaian antarabangsa. Semakin tinggi minat masyarakatnya terhadap muzik semakin modenlah sesebuah negara itu. Contohnya, masyarakat negara moden seperti Jerman dan Sweden sering menyaksikan pelbagai konsert muzik yang diadakan tanpa mengira muzik itu tradisonal atau moden.
Selain itu, muzik turut mampu memberikan satu kerjaya yang baik terutama kepada remaja. Keadaan ini berlaku kerana bidang muzik di negara ini masih belum diteroka dengan seluasnya. Permintaan sebagai ahli muzik masih tinggi dan persaingannya tidak begitu sengit berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Dalam masa yang sama negara mula menganggap keperluan muzik menjadi penting dengan pelbagai konsert muzik diadakan setiap tahun di negara ini. Maka, semakin ramailah pemuzik yang diperlukan oleh negara dalam tempoh mendatang ini terutama muzik orkestra.
Keburukan yang ketara daripada muzik ialah aktiviti ini menyebabkan remaja terutamanya mudah terjebak dengan pergaulan yang bebas. Keadaan ini menyebabkan berlakunya gejala sosial yang mendapat perhatian masyarakat seperti isu pembuangan bayi dan penyalahgunaan dadah. Suasana dan tempat muzik sering menimbulkan masalah kepada remaja terutama aksi muzik barat moden yang dianggap terlalu menyimpang daripada budaya tempatan. Oleh itu, muzik turut membawa remaja kita terpesong sahsiahnya.
Kesimpulannya, muzik bukanlah seseuatu yang hanya membawa kebaikan tetapi juga impak negatif yang tersendiri. Setiap individu haruslah menilai dan melihat muzik itu daripada keperluan peribadi mereka untuk memastikan bidang muzik ini membawa impak positif. Peribahasa melayu ‘tepuk dada, tanya selera’ membuktikan bahawa buatlah sesuatu mengikuti keperluan dan kehendak seseorang terutama yang memberi kebaikan sejati.


- Nurul Ulfah -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan