background

Ahad, 16 September 2012


CARA MENGATASI PERBUATAN MELEPAK

Perbuatan melepak di kalangan remaja didapati semakin bertambah. Isu remaja melepak ini wajar dipandang serius oleh pemimpin masyarakat. Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi perbuatan melepak.

Antara cara-cara mengatasi perbuatan melepak ialah dengan membetulkan sikap para remaja. Setiap remaja mesti mempunyai cita-cita dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Antara nilai-nilai murni tersebut ialah nilai menghargai masa dan nilai kerajinan. Justeru, para remaja mesti memenuhi masa lapang mereka dengan aktiviti¬-aktiviti berfaedah seperti membaca dan bersukan.

Selain itu, keluarga juga boleh memainkan peranan dalam mengatasi perbuatan melepak. Contohnya, ibu bapa mesti menasihati anak-anak mereka agar menjauhi perbuatan melepak dan menerangkan kesan negatif perbuatan melepak. Ibu bapa juga mesti memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak agar anak-anak berasa dihargai dan disayangi selalu. Ibu bapa juga mesti memantau pergerakan anak-anak pada setiap masa agar mereka tidak melakukan perbuatan yang tidak berfaedah seperti melepak.

Masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam mengatasi perbuatan melepak. Contohnya, masyarakat setempat mesti menegur dengan baik perbuatan melepak di kalangan remaja. Jika para remaja masih terus melepak, bantuan daripada ketua masyarakat perlu diminta. Bantuan juga boleh diminta daripada pihak polis kerana perbuatan melepak ini kadangkala boleh menyebabkan masalah sosial yang lain seperti mencuri dan mengganggu ketenteraman awam.

Di samping itu, media massa juga boleh memainkan peranan dalam mengatasi perbuatan melepak. Keupayaan media massa dalam mempengaruhi remaja memang tidak dapat dinafikan. Contohnya, media massa seperti televisyen boleh menyiarkan kempen menjauhi perbuatan melepak. Surat khabar juga boleh menyiarkan rencana tentang keburukan melepak agar dapat menyedarkan golongan remaja.

Kerajaan boleh juga memainkan peranan dalam mengatasi perbuatan melepak. Hal ini kerana kerajaan mempunyai sumber kewangan bagi membuat program kesedaran tentang perbuatan melepak. Tindakan kerajaan melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) adalah langkah yang baik. Pihak kerajaan juga boleh meminta Kementerian Bella dan Sukan membuat pelbagai program yang berfaedah untuk remaja mengisi masa lapang mereka.

-Nurul Ulfah-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan